Leila: Perjalanan hidup saya
Saya mendapat haid pada usia 12 tahun dan saya tidak pernah mempunyai sengugut luar biasa sehinggalah saya berusia 25 tahun. Ketika itu saya seorang wanita yang bekerjaya dan masih bujang. Saya mendapati perubahan level senggugut saya yang sangat ketara daripada 0 kepada kesakitan yang tidak boleh terungkap dengan kata-kata!
Setiap bulan pasti akan mengambil cuti sakit kerana saya tidak boleh bergerak mahupun berdiri dengan tegak langsung. Doktor hanya memberi pill tahan sakit yang selalunya tidak berkesan langsung serta hanya berkata senggugut ini normal dan selalunya akan hilang selepas berkahwin!
Hasil carian Google brdasarkan simptom-simptom yang saya hadapi, ketika itu saya percaya saya mungkin menghidapi Endometriosis atau Irritable Bowel Syndrome (IBS). Saya berasa takut kerana saya tidak tahu tentang penyakit-penyakit ini dan saya juga takut hendak ke Pakar Puan kerana saya masih belum berkahwin. Bimbang dan juga malu hendak mendapat nasihat pakar, saya bertahan sendirian selama 2 tahun lebih. Setelah berkahwin, saya berjumpa Pakar Puan dan mendapati saya mempunyai bilateral cyst yang besar dan perlu melakukan pembedahan secepat mungkin.
Akhirnya pada 2008 saya dibedah buat pertama kali untuk membuang Bilateral Endometrioma Cyst dan bermulalah perjuangan sebagai pengidap Endometriosis Tahap 4. Alhamdulilah saya dikurniakan zuriat pertama pada 2010 tetapi sayangnya itu bukan menandakan Endometriosis saya hilang. Pada 2012 saya menjalani pembedahan kali ke 2 dan penyakit saya melarat kepada Adenomyosis pula.
Sekarang, saya juga mengidap penyakit Hydronephrosis dan sudah menjalani total 3 pembedahan untuk Endometriosis dan Adenomyosis.
Leila Aizura Mohd Daniel
ENDOwarriors